Category Archives: Budaya & masyarakat

Budaya Kerja

Lebih setahun sejak saya kembali ke tanah air. Namun, pengalaman yang saya timba semasa berada di Hamburg, Jerman sangat bermakna dan penuh dengan pengajaran. Antara perkara yang paling saya ingat adalah budaya kerja di sebuah institusi tempat saya belajar dan bekerja. Mungkin perkongsian kali ini akan dapat membuka mata dan minda para pembaca.

Pada suatu hari jam 5 pagi, saya dikejutkan oleh bunyi tapak kaki di luar tingkap bilik kediaman saya. Sangkaan saya pada mulanya adalah pelajar-pelajar universiti yang baru pulang daripada berparti. Ianya ternyata meleset! Bunyi tapak kaki tersebut adalah milik pekerja sokongan yang datang bekerja pada awal pagi. Saya difahamkan oleh rakan sekerja di sana bahawa mereka boleh memilih untuk memulakan kerja pada awal pagi dan pulang pada jam 2 petang! Wah! Menariknya! Ada di antara kita, termasuk saya sendiri, suka bekerja di waktu pagi dan mengalami masalah hilang daya tumpuan apabila masuk waktu tengahari. Kalaulah sistem ini diamalkan di Malaysia, rasanya mungkin tiada masalah produktiviti kerja. Apa guna bekerja mulai jam 9 pagi sehingga 5 petang jika di waktu tengahri pekerja hilang daya tumpuan?

gebaude-d

Bangunan yang menempatkan pejabat saya

Berdasarkan pengamatan saya, rakan-rakan sekerja di institut sangat efisien dalam melaksanakan kerja-kerja pentadbiran. Bayangkan apa yang diminta akan diserahkan pada masa itu juga walau pun mereka sedang melakukan satu tugasan lain. Misalnya, saya pernah meminta beberapa fail soft-copy daripada rakan sekerja yang sedang menyiapkan satu kertas laporan. Beliau terus berhenti meneruskan kerjanya dan berusaha bersungguh-sungguh mendapatkan salinan fail yang saya inginkan. Sikap ini bukan sahaja ditunjukkan oleh beliau, malahan kesemua rakan sekerja saya yang bekerja di institut tersebut! Sangat menakjubkan! Mereka juga tidak suka membuang masa. Mereka tidak rancak berborak kosong seperti kebanyakkan kita di tanah air. Waktu bekerja adalah waktu untuk bekerja. Mereka mencurahkan tenaga sepenuhnya dalam menyiapkan tugasan yang diberikan. Power boosts mereka adalah air kosong/suam dan kopi/teh panas tanpa gula. Itu sahaja. Kadangkala, saya sendiri tidak sedar bahawa rakan sekerja saya ada di pejabat yang sama kerana masing-masing kusyuk menyiapkan tugasan yang diberikan.

Tiba waktu makan tengahari, kami akan sama-sama keluar makan di kafeteria berdekatan. Tanpa mengira pangkat dan usia, semua dapat menikmati hidangan dan bercerita tentang perkara-perkara bukan berkaitan kerja. Adakalanya kami singgah sebentar untuk menikmati kopi panas (latte macchiato, cappuccino, espresso dan sebagainya) selepas makan tengahari. Lebih menakjubkan kesemua minuman tersebut yang pada saya agak mahal (€3 = RM14 secawan) dibayar oleh ketua institut, a.k.a. boss tanpa berkira. Hampir setiap hari bekerja, rutin sedemikian berlangsung. Patutlah semua rakan sekerja saya sangat rapat dengan ketua kami dan amat menghormati beliau.

Setiap kali tiba di pejabat pada awal pagi dan pulang daripada pejabat, kami akan menyapa setiap orang di institut berkenaan. Walau pun pintu tertutup rapat, setiap orang akan mengetuk pintu untuk mengucapkan selamat pagi (Guten Morgen! Moin Moin! Hallo, wie geht’s?). Bukankah ianya indah memulakan pagi dengan ceria? Semasa petang pula, masing-masing akan mengucapkan selamat tinggal sebelum berangkat pulang ke rumah (Bis spaß! Schönen Feierabend! Tschuss!). Bukankah bagus untuk mengetahui siapa yang masih ada di tempat kerja dan siapa yang telah pulang?

Banyak lagi budaya kerja yang menarik di sana. Paling terkesan di hati apabila ketua saya berkata Do your best but success is not a guarantee! Mungkin kebanyakkan orang di sana memegang prinsip ini dan disebabkan itulah negara Jerman berjaya menghasilkan teknologi maju yang canggih dan berkualiti. Jika diberi peluang untuk kembali ke sana, saya pasti akan ke sana lagi.. 🙂

 

Advertisements